Kisah Akh Ali Abul A'la & buah keikhlasan!

Imam As-Syahid Al-Banna memulakan dakwahnya di kedai-kedai kopi sekitar Terusan Suez. Dengan tutur kata dan bahasa yang lembut, dakwahnya mampu meluluhkan hati pemuda-pemuda yang berjiwa fitrah yang kerap melepaskan lelah di kedai-kedai kopi setelah seharian membanting tulang empat kerat.

Hingga akhirnya setiap kali Al-Banna berdakwah, kedai itu penuh sesak dengan pengunjung. Dari situlah para pendokong dakwah Ikhwan Muslimin, organisasi dakwah yang didirikan Al-Banna terbentuk. Dakwah ini diasaskan di Ismailiah, daerah terawal yang menerima cahaya dakwah suci ini.

Di Ismailiah, ikhwah telah bersepakat untuk mendirikan pejabat lengkap dengan masjidnya. Dalam satu pertemuan khusus Ikhwan, niat dan gagasan tersebut dikukuhkan. Kewujudan pejabat/markaz Ikhwan ini sebagai pusat dakwah setempat ini sangat penting untuk kelancaran gerak kerja dakwah. Hampir 20 orang ikhwah yang menghadiri pertemuan itu sangat bersemangat untuk merealisasikan cita-cita ini.

Sepanjang perbincangan berkenaan pejabat/markaz yang ingin didirikan itu, Iman As-Syahid hanya diam dan serius mengikuti perbincangan tersebut sehingga seorang ikhwah bertanya:

"Apa pendapat Ustaz mengenai cadangan ini?"

"Secara prinsipnya, cadangan ini sangat bernas!" jawab Al-Banna,

"Akan tetapi untuk merealisasikannya, kita perlu memenuhi beberapa syarat. Pertama, kita harus mengkhususkan niat hanya kerana Allah s.w.t, mengukuhkan azam untuk menghadapi kesulitan, kemudian bersabar dan berkerja keras. Selain itu, kita harus melibatkan diri kita dalam setiap kegiatan yang dianjurkan secara berterusan. Lantas, kita sendiri yang harus memulai untuk berjuang dan berkorban.

"Jika kalian serius dan sungguh-sungguh untuk merealisasikan cita kita bersama, sebagai buktinya kalian harus memberikan sumbangan berjumlah 50 junaih dari poket kalian sendiri. Serahkan duit itu kepada Akh Sayyid Afandi Abu As-Su'ud selaku bendahari dalam tempoh seminggu. Kalian tidak perlu menyebut-nyebut hal ini kepada seorang pun dan jangan sampai ia diperbincangkan. Setelah seminggu, kita akan berkumpul lagi seperti pertemuan malam ini. Jika kita dapat mengotakan janji kita ini dan dapat menjaga kerahsiaan infaq ini, percayalah bahawa projek kita ini akan berjaya, Insya Allah", tegas Al-Banna.Dengan izin Allah, tidak lama kemudian pejabat dan masjid akhirnya berjaya didirikan. Mulailah Ikhwan merencana pelbagai program dan aktiviti antaranya kuliah mingguan yang disampaikan oleh Imam Al-Banna. Anehnya, seorang akh di antara mereka bernama Akh Ali Abul A'la kerapkali lewat sampai ke pengajian mingguan ini. Padahal, sebelum ini beliau selalu datang lebih awal. Sehingga Imam Al-Banna menanyakan perihal kelewatannya itu. Tetapi, dia selalu memberi jawapan yang berbelit-belit dan tidak bersedia mendedahkan perihal sebenar.

Pada akhirnya diketahui bahawa apa yang dilakukan oleh al-Akh tersebut bukan kerana dusta tetapi kerana begitu seriusnya menjaga amalnya dari riya'.
Beliau mengisahkan bahawa ketika Imam Al-Banna menetapkan bahawa setiap ikhwah perlu memberi sumbangan berjumlah 50 junaih dari poket mereka sendiri dan merahsiakan amal tersebut, beliau telah menyisakan duit pendapatan hariannya sebanyak 150 qirsy setiap hari. Namun, ketika hari pembayaran tiba, beliau tidak berjaya juga untuk mengumpulkan wang sebanyak 50 junaih. Terlintas dibenaknya untuk berhutang, namun beliau ragu dan bimbang jika tidak dapat melangsaikannya.

Dihadapannya hanya tinggal basikal tua yang digunakan setiap hari untuk ke pasar dan untuk mengikuti kuliah mingguan yang jaraknya 6 kilometer dari rumahnya. Maka, dengan tekad yang bulat, beliau menjual basikal yang begitu banyak berjasa padanya. Lantas, sekarang beliau harus berjalan kaki untuk mengikuti kuliah setiap minggu.

Ikhwah lain yang mendengar kisah pengorbanan tulus ini sangat terharu. Lantas, tanpa pengetahuannya, mereka bersepakat membeli basikal baru bagi mengantikan basikal yang telah dijual bagi tujuan infaq fi sabilillah dan sebagai hadiah akan ketulusan dan pengorbanan beliau.

Pabila hati kian menyempit...

Hati yang lapang dapat diibaratkan seperti sebuah padang menghijau yang luas membentang; walaupun ada anjing, ada ular, ada kala jengking, dan ada beraneka binatang buas lainnya,pastilah padang itu akan tetap luas. Aneka binatang buas yang ada malah secara relatifnya bertambah kecil dibandingkan dengan keluasan padang yang luas terbentang.

Sebaliknya, hati yang sempit digambarkan seperti ketika kita berada di sebuah bilik air yang sempit, baru berdua dengan tikus saja, pasti ia mendatangkan masalah yang besar. Menjerit, melolong meminta tolong. Belum lagi jika dimasukkan anjing, singa, atau harimau yang sedang lapar, pasti akan lebih kronik masalahnya.

Entah mengapa...... kita sering terjebak dalam satu dimensi pemikiran yang membuat hari-hari kita menjadi hari-hari yang tidak tenang, yang membuat fikiran kita berserabut, penuh dengan agenda dan rencana-rencana buruk. Waktu yang berlalu sering kali membuatkan hati mendidih, bergolak, penuh ketidaksukaan, terkadang kebencian, bahkan lagi dendam kesumat.

Ah, sahabat. Sungguh.... alangkah menderitanya orang-orang yang disiksa oleh kesempitan hatinya sendiri. Dia akan mudah sekali tersinggung, dan kalau sudah tersinggung seakan-akan tidak mampu memaafkan, kecuali hatinya sudah dipuaskan dengan melihat orang yang menyakitinya menderita, sengsara, atau tidak berdaya.

Padahal ternyata yang kita perhatikan dalam sirah dan kisah perjalanan hidup para Rasul, para Anbiya’, para ulama yang ikhlas, orang-orang yang berjiwa besar, bukanlah mencontohkan kepada kita sikap pendendam, membenci atau busuk hati. Namun mereka menonjolkan sikap peribadi yang tegar dan kukuh bagai tembok, sama sekali tidak terpancing oleh caci maki, cemuhan pahit, benci, dendam, dan perilaku-perilaku rendah lainnya. Peribadi mereka bagai pohon yang akarnya menghujam ke dalam tanah, begitu kukuh dan kuat, hingga diterpa badai dan diterjang taufan sekalipun, tetap mantap tidak bergerak.

Tapi orang-orang yang berjiwa kecil, apabila dijentik dengan perkara-perkara remeh sekecil apapun, terus bertindak balas ; panik, amarah membara, dan dendam kesumat.


Jadi, jangan terlalu ambil cakna sangat dengan hinaan dan celaan orang lain. Nabi Muhammad, SAW, manusia yang ma’sum (terpelihara dari melakukan dosa), tetap saja pernah dihina, dicela, dan dipermainkan. Kalau junjungan Agung ini mampu bersabar dengan perilaku orang sebegini, apatah lagi kita yang asyik melaungkan bahawa kita cinta pada Baginda......


Ketahuilah bahwa antara nikmat yang paling mahal dalam kehidupan ini adalah hati yang tenang dan aman.

Walaupun rumah kita sempit, tapi kalau hati kita lapang akan terasa luas ruangan rumah.

Walaupun tubuh kita sakit, tapi kalau hati kita ceria, berbunga-bunga dengan kunjungan sahabat dan teman, hati akan terasa indah.

Walaupun badan kita penat, tapi kalau hati kita tegar, semangat akan terus membara.

Walaupun pakaian kita sederhana, bukan ‘branded’ sangat, tapi kalau hati kita riang, akan tetap dihormati.

..................................................................................................................................................................

Sebaliknya, apa ertinya rumah yang lapang kalau hatinya sempit?!

Apa ertinya Pizza, Nasi Yaman, Burger, Hot Chocalate, dan segala makanan enak lainnya, kalau hati sedang membara ?!

Apa ertinya bilik sejuk nan nyaman dengan penghawa dingin terbaik kalau hati mendidih ?!

Apakah penyelesaian bagi ini semua?

Pertama; kita harus sentiasa bersedia untuk memaafkan orang lain dan juga dikecewakan, karena hidup ini tidak akan selamanya mengikuti setiap keinginan dan kemahuan kita. Ertinya jangan sentiasa meletakkan diri kita di zon selesa. Cabar diri anda untuk keluar dari zon ini. Kita harus bersedia untuk berhadapan dengan situasi sesulit dan sepahit manapun. Bak kata pepatah; 'sediakan payung sebelum hujan'. Ertinya, hujan atau tidak hujan kita sudah siap bersedia.

Kedua; apa yang harus kita lakukan kalau terbukti ada orang yang menyakiti hati kita, adalah dengan jangan terlalu ambil endah dan begitu mudah terasa, sebab kita akan merugikan diri dan fikiran kita sendiri. Asyik memikirkan perbuatan yang tidak baik yang orang lain lakukan pada kita. Lupakan sahaja. Banyak lagi perkara besar dalam hidup yang kita perlu fikirkan. Yang memberi rezeki adalah ALLAH, yang mengangkat darjat seseorang adalah ALLAH, yang menghinakan seseorang juga adalah ALLAH. Mati-matian orang lain menghina, yakinlah kita tidak akan hina dengan penghinaan orang. Kita akan hanya menjadi hina dengan kelakuan hina kita sendiri.

Nabi SAW dihina, tapi tetap cemerlang bagai intan mutiara. Sedangkan yang menghinanya, Abu Jahal sengsara di dunia apatah lagi di akhirat.

Percayalah, semakin mudah kita tersinggung, apalagi hanya dengan hal-hal yang remeh, hidup kita akan menjadi semakin sengsara.

Yang pasti semakin kita mudah memaafkan orang lain, semakin kita berhati lapang, semakin kita mampu memahami orang lain, maka akan makin aman dan tenteramlah hidup kita ini, subhanallah.

Semoga ALLAH SWT senantiasa memberikan kepada kita hati yang lapang, yang jernih, kerana ternyata berat sekali menghadapi hidup di era akhir zaman yang semakin mencabar ini dengan hati yang sempit.




Talkshow bersama Dr Zainur!

1,2 Mula!


Minggu lepas, bermulalah sesi pengajian tahun 3 buat kami di Sekolah Perubatan Kasr El-Ainy, Universiti Kaherah. Abang2 kate tahun ni tahun yg paling mencabar sebelum melangkah ke tahun klinikal. Moga Allah meringankan ayunan langkah kami semua dan memudahkan usaha kami mendalami satu cabang daripada ilmuMU yang maha luas.

Mungkin kami tidak setekad Syeikh Abu Qadir Jailani yang sanggup mengembara sewaktu usia remaja merentas padang pasir berdebu untuk mendalami ilmu agama atau segagah Imam Bukhari yg sanggup merantau ke seluruh pelusuk tanah Arab bagi mendapatkan hadis2 shohih…namun kami harap KAU ganjari kesungguhan kami meninggalkan ”Saratoga” (selimut tebal) yang membungkus batang tubuh yang dingin sewaktu musim sejuk untuk ke kuliah atau kepayahan kami meredah panas terik semasa musim panas untuk pergi ke kuliah dan mengejar redhamu…

Kadang-kadang aku kembali merenung;

Siapa yg memberi kita….
FAHAM apa yang diajar oleh pensyarah,
INGAT dan HAFAL segala atau sebahagian pelajaran yang diajar,
Melancarkan lidah semasa ‘oral’, melapangkan otak semasa ‘written’, menyeragamkan ayunan tangan semasa ‘practical’…

Kalau bukan dariMU, YA ALLAH…………………………………………………………………

Semuanya di dalam aturanMU…subhanallah…Kadang-kadang pelik bila melihat ada orang yang terus takbur dengan nikmat Nya dan mengganggap kejayaannya adalah hasil usaha dia semata-mata.

Ya Allah, Berkatilah ilmu yg telah,sedang dan akan aku pelajari..moga ia menjadi pemberat mizan hasanah di akhirat kelak…

Syidda hilak, ya ashabi! Bittaufiq wa najah..

Buat yang tersayang~

3 Sahabat Ramadhan~



Di dalam perut manusia terdapat 3 rakan karib yang selalu berkerjasama dalam
melakukan kerja harian , mereka ialah Enzim, Asid, dan Bakteria.
Manakala didalam paru-paru pula, Alveoli merupakan komuniti terbesar yang bertugas membuang karbon dioksida dan membekal oksigen.
Mari kita belajar sesuatu dari kisah kehidupan mereka sepanjang bulan Ramadhan.



Hari itu, kira-kira jam 5 pagi, si Asid tiba-tiba tersedar dari tidurnya apabila melihat sesuatu turun laju dari atas. Dia terkejut melihat nasi bercambur ayam yang tiba-tiba masuk kebiliknya sebelum waktu subuh . Apabila ada makanan, maka bermakna mereka diarahkan berkerja oleh tuannya yang bernama manusia.

Lalu si Asid menjerit mengejutkan dua rakan karibnya.
“ Oiii Enzim, Bakteria…..bangun, bangun!.


Enzim dan Bakteria terpinga-pinga.


“ Apahal ni Asid, pukul berapa ni?, tanya Enzim pada Asid.

“ Pukul 5 pagi, tuan kita ni tiba-tiba je hari ni suruh kita berkerja”, jawab si Asid bersungguh-sungguh.

“ Alamakkk, apahal pulak tuan kita ni, selalunya shift keja kita mula kita 8 pagi, hari ni pulak kerja awal, mimpi apa bos kita malam tadi, leceh betullah”,Bakteria menyampuk dan mengeluh.


Dalam keadaan terpaksa mereka bertiga melakukan tugasan masing-masing. Bertugas dalam keadaan tergesa-gesa dan jarang dilakukan pada waktu begini. Enzim dan Asid masih merungut-rungut.

Menjelang jam 2 petang, mereka semakin hairan apabila tuannya tidak menyuruhnya berkerja.


“ Eh, kenapa tak ada makanan masuk ye, tadi jam 10 pagi tak ada jugak, tuan kita ni tak ada duit ke?, keluh si Asid.

Tiga jam kemudian, si Asid mengeluh lagi,


“ Wah, lama betul kita rehat hari ni, air kosong pun tak masuk, jom kita relak dan menyanyi!


Mereka bertiga pun menyanyi dan menari. Masing-masing mengutuk antara satu sama lain kerana suara sumbang mereka. Lagu yang tiada irama dan tiada melodi. Kriookk, kreekk, krukkk. Kata si Enzim, “ Kita mana tau lagu lain, dari kecik lagu ni je yang kita tahu!

Jam sudah menunjukkan hampir 7.30 malam. Tiba-tiba Asid menjerit kuat. “ Tolongggg, tolongggg….. “ Apahal kau ni Asid!, sergah Enzim.

“ Kau tak nampak ke tu, bermacam-macam makanan dan air masuk dalam bilik kita ni. Tadi kita seronok tak ada kerja. Kalau banyak macam ni, 6 jam pun tak abis kita kerja malam ni, bos kita dah tidur tapi kita masih berkerja”, kata Si Asid dengan muka berkerut. Bakteria kaget dan terdiam.

“ Ya lah, ada macam-macam makanan ni, selalunya nasi je, tapi ni ada mee, rojak, karipap. Eh eh, cendol pun ada”, keluh si Enzim.

“ Betullah, air pun ada dua tiga warna ni, mandi lencunlah kita. Bahaya ooo, ini air pewarna. Malam ni kita kena overtimelah”, sampuk Bakteria. Dia terus merungut dan mengomel, dia terus bersyarah, “ Tapi tak pa, bos kita paksa kita kerja lebih masa, nanti aku pulas usus dia, aku keluarkan gas, nanti kita tenguklah, bos kita akan lama mencangkung dalam tandas, lembiklah dia lepas tu, silap-silap waktu maghrib pun abis!

Esoknya, kira-kira pada waktu yang sama, Si Asid menjerit lagi, “ Bangun-bangun! Kita kerja awal lagi hari ini”. Bakteria tersedar dan berkata,” Ooooo…kau orang lupa ke, semalam kita kerja awal, hari ni pun kerja awal, maknanya dah masuk bulan puasalah, bulan Ramadhan”. Asid dan Enzim angguk tanda setuju.

“ Aku nak SMS kawan kita yang lain, nak tanya khabar mereka”, kata Asid. Mereka bertiga terus berkerja pada pagi itu sambil merungut-rungut kerana tidak biasa berkerja pada waktu begitu .Dan seperti Ramadhan yang lepas, biasanya mereka mengambil masa seminggu untuk menyesuaikan diri dengan rutin baru ini.

Tiba-tiba Asid bersuara, “ Kawan kita yang bosnya selalu pergi masjid tu dah jawab SMS. Dia kata dia dah biasa kerja awal pagi ni. Paling tidak sekali dalam seminggu. Dan dia kata, waktu bosnya berbuka puasa, tak banyak makanan, biasa saja dan tak perlu buat overtime. Tak macam kita, bilik kita macam tong sampah. Aku kesian juga kat usus besar, padat bilik dia. Bau bilik dia jangan cakaplah ”.

“ Untung ye kawan kita tu, dia dah tak terkejut kerja pada awal pagi. Dia dah lama dapat rehat, seminggu sekali pulak tu. Kita ni berkerja 334 hari , siang malam, 30 hari je dapat rehat. Itu pun rehat waktu siang. Bila bos kita berbuka, teruk kita dibuatnya, bukan dia saja tersandar, kita pun tersandar lebih masa kerja. Nanti lepas tarawih ada moreh, kita keja lagi”, kata si Enzim.

“ Hahahaha….gelak si Bakteria. “ Nasib kita lah, sabor je dalam sebulan ni.... nanti bila bulan syawal, bersedialah kita, bukan overtime lagi dah, tapi dah tak ada time untuk kita rehat, macam-macam masuk dalam bilik kita ini, dah nasib kita!!

“ Abih camno, tak dapek den nak nolong eh, tapi harap-harap bos kita dapat dengar keluhan kita ni, lepas Ramadhan ni dia beri kita rehat sikit, kalau tak dapat seminggu sekali, sebulan sekali pun ok dah”, kata si Asid dengan muka serius dan masam. Asid ini memang sifatnya masam.

“ Yolah botul tu, bos kita ingat kito ni mesin ko, mesin pun ado maso rehat eh”, sampuk Bakteria.
“ Aku ada idea, kita pesan kawan kita tu, suruh bos dia ajak bos kita supaya rajin-rajin dengar ceramah agama dan sembahyang berjemaah kat surau tu. Ni tak, bos kita asyik sembahyang kat rumah je. Nanti bila dah dengar ceramah agama, harap-harap dia ubah sikap. Paling tidak dia belajar-belajar puasa sunat, kita dapat rehat”, Si Enzim memberi cadangan.

“ Betul tu! balas Bakteria. “Kau nak tahu tak, semalam aku lepaskan geram kat bos kita sebab dia lambakkan macam-macam dalam bilik kita. Masa dia sujud, aku keluarkan gas, lalu keluar balik cendul hijau kat hidung dia, padan muka kelahap sangat!”.


“ Hahahaha…., mereka bertiga gelak berderai-derai.




Tiba-tiba rakan mereka di bilik paru-paru bersuara, iaitu Si Alveoli. “ Oii…apa yang kau orang seronok sangat ni?

“ Saja, kita orang gelakkan bos kita ni. Kau pulak apakhabar? Bilik kau orang okey tak sepanjang puasa ni?, tanya Enzim pada Alveoli.

“ Alahhh, kau buat-buat tanya pulak, siang hari je bilik kita orang ni tak berasap. Nanti lepas buka puasa, kita orang lemaslah balik. Macam inilah gamaknya, dah berpuluh tahun macam ni”, komen si Alveoli.


"Aku pun hairan juga, bos kita ni boleh pulak tak berasap selama 12 jam pada bulan Ramadhan ini, tapi pada bulan lain, dua tiga jam sekali bilik kita orang mesti penuh dengan asap “, si Alveoli terus mengeluh.

“ Kita kena pesan kat kawan kita kat bilik paling atas tu, Si Otak supaya suruh bos kita berhenti menganaiya kau orang. Suruh kuatkan semangat bos kita ni”, balas si Bakteria.

“ Setahu aku, Si Otak dah naik malas dah, bos kita ni selalu kata dia dah lama tahu akan keburukan telan asap ni, dulu bos kita penah taubat sedut asap ni, tapi taubat cili padi", jawab si Alveoli.

“ Kami semua dalam bilik ni dah makin tak larat dengan asap ni dan ada kawan kita orang dah tak larat nak kerja ambik oksijen dah, dia keluarkan lendir .Itu yang banyak kahak ,bos kita semput dan nafas pendik. Agaknya bos kita nak jadikan bilik paru-paru ni jadi simpanan toksik dan jadi kanser macam kawan bos kita tu yang mati baru-baru ni”, mereka terdiam mendengar cerita si Alveoli.
“ Yer ke, nanti bilik kau kena kanser, bila kita orang pun boleh kena jugak”, sampuk Si Asid.
Dalam mereka berbual-bual, Si Telinga juga menyampuk, “ Aku dah biasa dengar dalam iklan, tentang keburukan asap ni”.

Si Mata yang diam dari tadi berkata,“ Betul tu, aku pulak dah biasa membaca, malah sekarang ni, kat kotak rokok pun aku lihat bermacam-macam gambar ngeri akibat telan asap ni, tapi bos kita buat dek je. Dan kau orang nak tahu tak, hari tu mata aku ni tengok lama perempuan seksi tau, naik juling aku dibuatnya. Nama je puasa bos kita ni, aku tak diajaknya puasa sekali!

“ Aku pun ada dengar dalam Radio, menyuruh orang yang berjaya kurang merokok dalam bulan puasa ini, supaya kurangkan rokok pada bulan lain, kalau dapat terus berhenti lagi baik, tapi cuping aku dah tebal”, kata si Telinga sambil tersengeh.

“ Yalah, aku pun ada tenguk, ada orang kat Masjid tu, sebelum dia sembahyang dia sempat lagi berasap tu”, kata Si Mata menyindir.


“ Betul tu, ada hidung orang lain yang sensitif dengan bau asap ni dan menganggu solat dia orang, nanti buat pahala dan buat dosa serentak”, jawab Si Hidung yang dari tadi asyik menghidu.

Tiba-tiba Si Mulut berkata, “ Aku malas nak komenlah, bos kita ni jarang benar berzikir dan baca Al Quran dalam bulan puasa ni. Dia suruh aku bercakap pasal kerja dan masalah harian dia saja. Pada bulan lain, lagilah liat lidah aku ini untuk berzikir. Yang paling aku tak suka, aku masih maki hamun orang, macam tak ada beza dengan bulan tak puasa".

Dengan penuh bersemangat Si Alveoli menyeru, “ Jom kita buat deklarasi dan memorandum moga tuan kita akan berubah laku lepas puasa ni tahun ini, nanti kita semua akan lebih sihat dan selamat, bos lagilah selamat. Dia panjang umur, kita semua akan bertambah usia, bos mati, kita semua akan mati serentak tau!

Enzim bersuara. “ Nanti dulu, jangan lupa ajak si Hati, dia yang paling penting, tanpa dia, tak berkesan saranan kita nanti. “ Betul tu, tapi aku tengok si Hati pun dok muram saja, dia pernah beritahu aku yang dia pun sedih dengan bos kita. Badan si Hati makin kotor dan tidak sihat. Dia cuma diberi makanan berzat saja, tapi tak diberi secukupnya makanan hati”.

“Okey lah, nanti kita bincang dengan Hati, kita tanya pendapat dia. Rosak si Hati, kita semua akan rosak ”, kata si Asid.


Dr Yusof Abbas
http://bioibadah.blogspot.com/


Hidup aku ni berkat ke tak?

Menggapai Hidup BeSekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka sendiri.

(Q.S. Al-A'raaf : 96)

Mengapa wang yang banyak, rumah yang besar, isteri yang jelita atau suami yang tampan (kalau dah berkahwin), ilmu yang luas tidak mengangkat darjat dan martabat pemiliknya? Malah menghinakannya? Dia tidak memperolehi kebahagiaan atau ketenteraman melainkan hanya mendapatkan masalah dan kesulitan yang tidak pernah putus. Apa sebabnya? Sebenarnya penyebabnya begitu 'simple' sekali, bahwa semua itu tidak berkat.

Kita tidak boleh cukup puas dengan memiliki sesuatu. Tetapi yang harus lebih kita titikberatkan adalah keberkatan atas segala sesuatu itu. Jadi seharusnya jangan kita takut/bimbang jika tidak dapat memiliki sesuatu, tetapi yang kita perlu lebih takut ialah jika sesuatu yang sudah kita miliki itu tidak membawa keberkatan dalam episod hidup kita.

Contohnya, bagi seorang remaja, yang masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan tetap lagi, mungkin begitu terliur apabila melihat sahabat lingkungannya bergaya dengan telefon bimbit berjenama canggih;mungkin mencecah ribuan ringgit. Lantas, dia menanam impian untuk memilikinya dan bimbang jika impiannya tidak kesampaian. Yang seharusnya dia fikirkan, bagaimana telefon itu mampu memberikan keberkatan pada hidupnya; dapat simpan lebih banyak 'contact' sahabatnya agar ukhuwwah terus terjalin, dapat mudah bangun solat subuh dengan adanya 'multiple alarm', dapat mendengar ayat suci Al-Quran dengan adanya 'music player' pada telefon itu dan lain-lain lagi. Atau dia mula memikirkan agar dapat menyimpan lebih banyak gambar 'awek' dalam 'handset'nya, dapat mendengar lagu-lagu lagho buat mengisi masa lapang, atau boleh bermesra-mesra dengan kekasih dengan menggunakan 'video call'.

Maka, kita mesti waspada dan sangat takut jika hidup kita tidak berkat, iaitu yang tidak bermanfaat bagi dunia dan juga tidak bermanfaat bagi akhirat. Mulailah berhati-hati dengan wang. Mulailah berfikir bagaimana supaya wang yang Allah kurniakan kepada kita menjadi berkat?

Seperti misalannya gelas. Gelas hanya kita gunakan untuk minum selepas kita bersihkan terlebih dahulu. Jangan sekali-kali kita mencuba untuk tidak jujur. Kerana apa? Jujur atau tidak jujur dalam perbuatan kita, Allah tetap yang memberi rezeki. Rezeki penjahat datang dari Allah, rezeki orang jujur juga datang dari Allah. Bezanya, rezeki yang diberikan kepada penjahat tadi haram, tidak berkat, sedangkan yang diberikan kepada orang jujur adalah rezeki yang berkat. Kerana sebenarnya meskipun seseorang itu perompak, kalau Allah tidak memberi, mana mungkin dia mendapatkan hasil rompakan yang lumayan. Namun, banyak pencuri yang gagal, perompak yang gagal. Semua itu karena kehendak Allah.

Lantas,setelah kita jujur dalam kehidupan seharian kita, kita harus berhati-hati agar jangan sampai ada hak-hak orang lain yang terampas atau tidak ditunaikan, apalagi hak ummat. Na'udzubillahi min dzalik.

Alkisah, Umar bin Abdul Aziz -semoga Allah meredhainya-, ketika beliau sedang menyelesaikan urusan negara pada malam hari di rumahnya, tiba-tiba anaknya mengetuk pintu biliknya. Kemudian beliau membuka pintu dan lampu di biliknya itu terus serta-merta dimatikannya. Si anak lalu bertanya, "Kenapa engkau matikan lampu, ya Abi?" lalu beliau menjawab, "Kerana minyak yang digunakan lampu ini milik negara. Tidak wajar kita membicarakan urusan keluarga dengan menggunakan wang negara", Begitulah Umar, sangat hati-hatinya kerana mengharapkan hidupnya mendapat redha dan berkat dari Allah swt.

Harta kekayaan melimpah yang Allah kurniakan kepada kita, ianya akan membawa sejuta keberkatan kepada kita, jika dengan harta yang bersih itu kita gunakan untuk menunaikan kewajiban-kewajiban samada kepada orang lain apalagi kepada ummat. Ingat, wang yang kita punya bukan hak milik mutlak kita, tetapi hanya sekadar pinjaman Allah untuk kita agih-agihkan kepada diri kita, keluarga kita, dan ummat keseluruhannya.