Kisah Akh Ali Abul A'la & buah keikhlasan!

Imam As-Syahid Al-Banna memulakan dakwahnya di kedai-kedai kopi sekitar Terusan Suez. Dengan tutur kata dan bahasa yang lembut, dakwahnya mampu meluluhkan hati pemuda-pemuda yang berjiwa fitrah yang kerap melepaskan lelah di kedai-kedai kopi setelah seharian membanting tulang empat kerat.

Hingga akhirnya setiap kali Al-Banna berdakwah, kedai itu penuh sesak dengan pengunjung. Dari situlah para pendokong dakwah Ikhwan Muslimin, organisasi dakwah yang didirikan Al-Banna terbentuk. Dakwah ini diasaskan di Ismailiah, daerah terawal yang menerima cahaya dakwah suci ini.

Di Ismailiah, ikhwah telah bersepakat untuk mendirikan pejabat lengkap dengan masjidnya. Dalam satu pertemuan khusus Ikhwan, niat dan gagasan tersebut dikukuhkan. Kewujudan pejabat/markaz Ikhwan ini sebagai pusat dakwah setempat ini sangat penting untuk kelancaran gerak kerja dakwah. Hampir 20 orang ikhwah yang menghadiri pertemuan itu sangat bersemangat untuk merealisasikan cita-cita ini.

Sepanjang perbincangan berkenaan pejabat/markaz yang ingin didirikan itu, Iman As-Syahid hanya diam dan serius mengikuti perbincangan tersebut sehingga seorang ikhwah bertanya:

"Apa pendapat Ustaz mengenai cadangan ini?"

"Secara prinsipnya, cadangan ini sangat bernas!" jawab Al-Banna,

"Akan tetapi untuk merealisasikannya, kita perlu memenuhi beberapa syarat. Pertama, kita harus mengkhususkan niat hanya kerana Allah s.w.t, mengukuhkan azam untuk menghadapi kesulitan, kemudian bersabar dan berkerja keras. Selain itu, kita harus melibatkan diri kita dalam setiap kegiatan yang dianjurkan secara berterusan. Lantas, kita sendiri yang harus memulai untuk berjuang dan berkorban.

"Jika kalian serius dan sungguh-sungguh untuk merealisasikan cita kita bersama, sebagai buktinya kalian harus memberikan sumbangan berjumlah 50 junaih dari poket kalian sendiri. Serahkan duit itu kepada Akh Sayyid Afandi Abu As-Su'ud selaku bendahari dalam tempoh seminggu. Kalian tidak perlu menyebut-nyebut hal ini kepada seorang pun dan jangan sampai ia diperbincangkan. Setelah seminggu, kita akan berkumpul lagi seperti pertemuan malam ini. Jika kita dapat mengotakan janji kita ini dan dapat menjaga kerahsiaan infaq ini, percayalah bahawa projek kita ini akan berjaya, Insya Allah", tegas Al-Banna.Dengan izin Allah, tidak lama kemudian pejabat dan masjid akhirnya berjaya didirikan. Mulailah Ikhwan merencana pelbagai program dan aktiviti antaranya kuliah mingguan yang disampaikan oleh Imam Al-Banna. Anehnya, seorang akh di antara mereka bernama Akh Ali Abul A'la kerapkali lewat sampai ke pengajian mingguan ini. Padahal, sebelum ini beliau selalu datang lebih awal. Sehingga Imam Al-Banna menanyakan perihal kelewatannya itu. Tetapi, dia selalu memberi jawapan yang berbelit-belit dan tidak bersedia mendedahkan perihal sebenar.

Pada akhirnya diketahui bahawa apa yang dilakukan oleh al-Akh tersebut bukan kerana dusta tetapi kerana begitu seriusnya menjaga amalnya dari riya'.
Beliau mengisahkan bahawa ketika Imam Al-Banna menetapkan bahawa setiap ikhwah perlu memberi sumbangan berjumlah 50 junaih dari poket mereka sendiri dan merahsiakan amal tersebut, beliau telah menyisakan duit pendapatan hariannya sebanyak 150 qirsy setiap hari. Namun, ketika hari pembayaran tiba, beliau tidak berjaya juga untuk mengumpulkan wang sebanyak 50 junaih. Terlintas dibenaknya untuk berhutang, namun beliau ragu dan bimbang jika tidak dapat melangsaikannya.

Dihadapannya hanya tinggal basikal tua yang digunakan setiap hari untuk ke pasar dan untuk mengikuti kuliah mingguan yang jaraknya 6 kilometer dari rumahnya. Maka, dengan tekad yang bulat, beliau menjual basikal yang begitu banyak berjasa padanya. Lantas, sekarang beliau harus berjalan kaki untuk mengikuti kuliah setiap minggu.

Ikhwah lain yang mendengar kisah pengorbanan tulus ini sangat terharu. Lantas, tanpa pengetahuannya, mereka bersepakat membeli basikal baru bagi mengantikan basikal yang telah dijual bagi tujuan infaq fi sabilillah dan sebagai hadiah akan ketulusan dan pengorbanan beliau.

2 opini:

ibnzakaria said...

mohon copy.

cenderawasih said...

mohon copy juga

Post a Comment